Sunday, February 21, 2010

PESTA Menuai Sedunia yang diadakan setiap tahun menghimpunkan pelbagai kebudayaan daripada suku-suku kaum pribumi Sarawak.
TERLALU banyak kenangan yang dapat dibawa balik bagi mereka yang melawat Sarawak malah tidak keterlaluan untuk mengatakan kunjungan pertama ke Bumi Kenyalang itu pastinya bukan yang terakhir.
Sekiranya anda merancang untuk memasukkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan bagi tahun 2010, pilihan pasti tidak mengecewakan apatah lagi dengan aturan jadual perjalanan yang teratur.
Tarikan terbesar yang sering menjadi kekaguman pelancong di Sarawak adalah keharmonian budaya, cara hidup dan kemajmukan masyarakat yang terdiri daripada kira-kira 27 suku kaum pribuminya.
Malah, kesan daripada kepesatan pembangunan turut menggalakkan lagi 'pengumpulan budaya' dari sembilan bahagian negeri itu ke bandar-bandar utama. Sekali gus memaparkan lebih banyak keunikan masyarakat etniknya.

Bagi yang berkunjung untuk kali pertama, bandar raya Kuching mungkin destinasi yang sesuai untuk diutamakan.
Seperti kata orang Sarawak, jika tidak berkesempatan melawat ke Miri dan Sibu, kunjungan di Kuching sahaja sudah cukup memadai.
Selain acara yang banyak dianjurkan sepanjang tahun, kunjungan pelancong di Kuching disambut dengan pelbagai tempat dan monumen bersejarah seperti muzium, bangunan Astana, Fort Margherita dan patung kucing yang menjadi simbol bandar raya berkenaan.
Kuching dan bandar-bandar utama di Sarawak juga mempunyai rangkaian hotel dan tempat penginapan yang baik dengan harga berpatutan.
Sekiranya menginap di hotel-hotel di sekitar bandar raya Kuching jangan melepaskan peluang mengunjungi Bazaar Utama Kuching untuk membeli atau sekurang-kurangnya melihat kepelbagaian hasil seni dan kraf tangan buatan masyarakat tempatan.
Daripada barang ukiran hinggalah hasil tenunan sendiri, semuanya boleh didapati pada harga yang murah.
Bertentangan dengannya pula ialah laluan jalan kaki terkenal, Tebingan Kuching atau lebih popular dipanggil waterfront yang merupakan bekas pelabuhan kapal-kapal dagang yang menjadikan tempat itu sebagai tapak permulaan bandar Kuching.
Dari situ, pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar dari seberang sungai dengan menaiki bot tambang yang pernah menjadi pengangkutan terpenting suatu ketika dulu.
Jika bot tambang tidak memadai, pelawat boleh membayar lebih untuk bersiar di Sungai Sarawak dengan menaiki SarawakCruise sambil dihiburkan kumpulan muzik dan penari-penari berpakaian tradisional.
Satu lagi destinasi 'wajib' dikunjungi di Kuching ialah Pasar Tamu Satok, pada setiap hari Sabtu dan Ahad.
Di sinilah terdapatnya gerai-gerai menjual ikan terubok masin dan kuih lapis yang sering dijadikan buah tangan pelancong.
Tidak jauh dari bandar raya Kuching, seperti di Bau, Serian dan Padawan, pelancong boleh berkunjung ke rumah-rumah panjang tradisional kaum Iban dan Bidayuh untuk mengenali cara hidup mereka dengan lebih dekat.
Sekiranya berkesempatan, bahagian utara Sarawak turut menjanjikan pengalaman melancong yang bernilai terutama di kawasan seperti Taman Negara Mulu, Niah, Bario dan Ba'Kelalan di pedalaman Miri.
Di sana, pelancong akan terpegun melihat keunikan budaya kaum Kelabit, Kenyah, Penan dan Kayan yang tinggal di kawasan tanah tinggi.
Perjalanan menggunakan pesawat kecil kini disediakan oleh MASwing.
Manakala di pedalaman Sibu, daerah Mukah menawarkan pelbagai jenis makanan tradisional daripada suku minoriti iaitu Melanau seperti tebaloi (sejenis biskut sagu), ulat mulung dan umai (sejenis sushi diperbuat daripada ikan).
Pada bulan Mei setiap tahun, Mukah akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, persembahan dan permainan tradisional melalui Pesta Kaul.
Bagaimanapun, jika jadual anda di Sarawak terlalu singkat dan tidak berkesempatan menjelajah ke bahagian lain seperti Sibu, Kapit dan Bintulu, satu destinasi wajib dimasukkan ke dalam jadual anda iaitu Kampung Budaya Sarawak (SCV) yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuching.
Kunjungan terus menggunakan teksi dan bus penumpang biasanya boleh didapati di hotel-hotel utama.
Lawatan setengah hari ke taman budaya itu boleh diibaratkan sebagai tour ringkas ke segenap pelosok Sarawak.
Ia merupakan 'muzium hidup' yang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, pameran kraftangan dan cara hidup mewakili setiap etnik di negeri ini. Sarawak, tiada tempat sepertinya.

0 comments:

Post a Comment

Search

Loading...

add saya di dsini

Subscribe via email

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Subscribe Now: Feed Icon